23 May 2009

dari sini kami bermula...


assalamualaikum teman2

salam perjuangan buat semua...
doakan sahabat2 kita yang sudah dan bakal mengorak langkah ke dunia baru...
ingatlah bahawa business kita di dunia ini bermodalkan
"dakwah dan tarbiyah"
mungkin ana hanya insan kerdil untuk menyatakan cita2 yang besar
tapi memang itulah tanggungjawab yang dipikul setiap insan bergelar
manusia

angkatlah tanganmu mohon padaNYA agar kita mampu
memanfaatkan anasir soleh dalam lingkungan jahiliyah kini...



sapalah diri ini andai salah lakunya...
tegur diri ini andai silap langkahnya...

21 May 2009

Memperingati Ulangtahun Nakbah Ke-61

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi 'Cast lead'nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang. Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 61. Peristiwa Nakbah atau 'Malapetaka besar' dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai 'Hari Kemerdekaan' Israel setelah mereka memenangi peperangan 'War of Independence' (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan. Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan 'pre-emptive' strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

"Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)"

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau 'sektarianism' samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif 'muslim' lawan 'yahudi' atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia. Apabila tirai 2008 berlabuh bermulalah serangan paling biadap ke atas Gaza yang tidak perlu lagi diulas kerana liputan media yang meluas.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2009 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan 'hak' dan 'keselamatn' Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
Palestine Centre of Excellence
18 Mei 2009

sumber : http://lambaian-islah.blogspot.com/

18 May 2009

PZM 2009

Alhamdulillah pada 16 Mei yang lepas bersempena Hari Guru, team Ziarah Ikhwah X-Gen (yang masih available) telah melancarkan Program PZM 09 (Program Ziarah Murobbi) buat julung kalinya. Tujuan utama program ini adalah untuk menyantuni guru-guru yang pernah mendidik. Antara aktiviti yang dilakukan ialah...Read more!ziarah, minta nasihat, bergambar,makan dll.

Program ini disertai oleh 9 ikhwah(4 Driver) dan sebanyak tiga rumah telah dijadikan sasaran kali ini.

Tepat jam 9.30 pagi, rombongan yang sebelumnya berkumpul di sekolah telah bergerak menuju ke destinasi pertama, rumah Ustazah Fauziah.
Berbincang tentang masa depan sambil menikmati hidangan (batang pinang).


Antara pesanan ustazah, "Di mana pun kita belajar, jangna sesekali menepikan tarbiyah. Cuba cari, kalau tidak ada, antum yang mulakan."


Setelah selesai makan, driver lagi sorang baru sampai..dia pergi servis kereta mewah dia dulu kot..Sebelum pulang, wakil x-gen telah menyerahkan hadiah kepada ustazah sebagai tanda penghargaan.

Seterusnya, rombongan bergerak ke destinasi kedua, rumah agam Ustazah Zainab(SRIH) atau lebih dikenali dengan panggilan mak Amar. Sampai2, rombongan disambut mesra oleh Amar aka Abg Gangs. Teruja juga tgk hotel Amar..Selepas berinteraksi dan beramah mesra dgn tuan rumah..rombongan hendak balik..tapi dah masuk Zuhur..solat dulu di Ruangan Daurah di rumah Amar..Selepas itu, masing2 dapat bekal dari Amar..Terus bergerak ke destinasi seterusnya..



Ya...Destinasi terakhir untuk hari ini, Rumah ustazah Kartini. Penangan laksa ustazah telah menewaskan perut yang masih kenyang ditambah dengan dadih buatan sendiri(zahid ke?)..

Pesanan ustazah, " Inilah masa untuk bersama, lepas ni semua dah merata di atas muka bumi Allah...belajar sungguh2."


Terima kasih kepada pemandu2 kali ini:

Faiz(Savvy) Zak(Gen-2)Asyiq(Naza Ria)Irfan (Merc-sebut 'mers' bukan 'mersi')

Salam antum telah kami kirimkan...semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang (time cuti sem ke?). Kalau cuti tolong inform ye..
Inilah rupa hadiah yang diberikan kepada semua tuan rumah..

"Ya Allah Kau Redhailah Guru-guruku.."

Laporan disediakan oleh,
Abdullah Munir bin Mohd Aizaini
Pengarah PZM 09

16 May 2009

NURUL AIN Part 2 : Pertemuan yang Telah Ditetapkan

Hari itu merupakan hari cuti, tapi cuti untuk orang tertentu sahaja. Orang seperti Azzam. Dia bagun lewat pada pagi itu. Tapi tiada sedikit pun rasa bersalah. Hari cuti. Dia tidak ada sebab untuk bangun awal.

"Kalaulah setiap hari macam ni," katanya kepada dirinya sendiri. Sambil dia keluar dari bilik tidurnya, dia menggeliat.

"Masih awal lagi."


Dia turun tangga perlahan-lahan. Bunyi tapak kakinya menghentak pada tangga kayu itu jelas kedengaran. Tiada orang dirumah. Sunyi dan sepi sahaja keadaan.

Azzam terus ke dapur. Dia memasang cerek, ingin memasak air. Tapi dia sedar yang tiada air dalam cerek itu, jadi dia pun membawa cerek itu ke sinki. Pembukaan paip dan bunyi air paip yang deras mengalir masuk kedalam cerek mengembalikan realiti kepada Azzam.

"Sunyinya," katanya lagi.

Cuma ada empat orang dalam keluarganya. Ibu bapanya telah keluar mencari nafkhah. Sudah pastinya mereka mesti keluar awal - mereka tahu betapa bengisnya wajah Ketua Editor bila mendapati para pekerjanya hadir lewat untuk kerja. Sudah pastinya mereka tidak ingin membahayakan sumber pendapatan mereka. Gaji mereka memang tinggi - kalau tak, tiadalah rumah besar mereka ini.

Seorang lagi ahli keluarganya merupakan kakaknya. Sedikit rajin, sedikit malas, sedikit panas baran, sedikit lembut - itulah peribadi kakaknya, yang kini sedang berada disekolah, disumbatkan kepalanya dengan segala fakta sains yang entah macam mana boleh terbocor keluar melalui telinga kiri. Jeritan "Aaaaaah, kerja rumah tak siap lagi" memang menjadi melodi harian di rumah ini. Kadang-kala Azzam sendiri tertimbul hasrat ingin merakamkan jeritan itu untuk menjadi deringan ringtone telefon bimbitnya.

Tinggal lah dirinya seorang dirumah besar ini. Keseorangan. Tapi dia menenangkan fikirannya.

“Takpa, hari ni bolehlah berdepan dengan internet sampai petang.”

Pemikirannya itu hampir terbatal apabila dia teringat akan pesanan dari ibunya. “Nanti tolong basuh kereta yang satu lagi ya.”

Kenapalah masa cuti ni ada-ada sahaja kerja yang perlu dilaksanakan. Dia mengeluh sekejap sambil menutup paip – air dari paip sudah pun melimpah keluar dari cerek tersebut akibat kelalaian mindanya memikirkan perkara-perkara lain. Sesudah dia menghidupkan cerek air, dia terus mengambil baldi. Kali ni baldi pula yang perlu diisikan air.

Dia membuka pintu depan sambil membawa baldi yang penuh diisi air. Kereta yang berwarna biru laut sedang berada dihadapnya. Agak kotor sedikit, tapi inilah apa yang disuruh oleh ibunya – basuh kereta ini.

Sedang Azzam berada dalam keadaan separuh semangat, dia terserempak dengan sesuatu yang tidak patut berada disini.

“Aik?”

Kasut kakaknya.

Antara perkara yang tidak boleh diterima oleh akalnya ialah visual kakaknya pergi ke sekolah tanpa kasut. Mana mungkin, kakaknya yang begitu mementingakan wajah dan pakaiannya itu tak mungkin akan pergi kesekolah tanpa kasut. Adakah dia sudah membeli kasut lain? Pertanyaan Azzam terus mendapat jawapan penafian. Tidak, kakaknya tidak ada beli kasut yang lain.

Azzam terus berdepan dengan hanya satu kemungkinan.

Kakaknya masih tidur lagi.

Jatuh terus baldi yang berat diisi air, habis basah lantai dihadapan rumah.

Azzam berlari naik semula ketangga, tanpa berlengah, dan terus menuju bilik kakaknya.

“Kak,” dia menjeit sambil mengetuk pintu bilik kakaknya seperti hendak meruntuhkannya.


“Kak, kak masih tidur lagi ke?!!”

Bunyi ketukan pintu berulang-ulang.

“Kak!”

Dan benarlah apa yang difikirkan oleh Azzam apabila ada insan yang membuka pintu. Dihadapannya, berdirinya seorang remaja perempuan yang sedang menggosok mata kirinya, rambutnya yang kusut masai jelas menunjukkan yang dia baru bangun.

“Apa dia,” kakaknya berkata dengan nada yang begitu layu dan letih.

“Tengok ni,” Azzam menghalakan jam tangannya pada muka kakaknya. “Tengok pukul berapa sekarang ni!”

Mata kakaknya berusaha untuk melihat jam adiknya. Dengan tak sampai sesaat pun, matanya yang separuh tertutup itu terbula seluas-luasnya.

“DAH PUKUL SEPULUH SETENGAH?????!!!!!!!!!!!!!!”

Bergegar terus rumah dua tingkat itu digoncang oleh suara jeritannya.

“Kenapa tak kejut kakak?!!!!” dia teriak sambil melakukan perkara-perkara yang pelik – memasukkan tuala dalam beg, membuang air botol kedalam tong sampah – maklumlah, sudah kelam-kabut.

“Manalah Azzam tau yang kakak masih tidur lagi?”

“Itu bukan alasan!”

“Eish,” teguran sinis dari Azzam kepada kakaknya yang sedang berusaha keras untuk mencucukkan charger handphone pada kalkulatornya.

“Dah lah bangun lambat. Bila adik sendiri datang kejutkan, tak bersyukur pulak. Kalau macam ni baik – uumph!!”

Terus terhenti kata-kata Azzam bila kakaknya mencampakkan pakaian seragam pada mukanya.

“Tolong gosokkan!”

“Ewah ewah ewah… macam ni nak mintak tolong, main campak-campak?”

Kakaknya terus mengukir senyuman palsunya yang paling manis.

“Tolonglah ya, kakak nak mandi dulu.”

Dan dengan begitu sahaja, dia terus menuju ke bilik air.


*****

“Hah,” Azzam megelap dahinya apabila selesai menyiapkan sarapan. Inilah sarapan yang paling cepat yang pernah dia sediakan – roti bakar dan telur. Tak ada masa untuk membuat sarapan yang begitu mewah. Kakanya dan lewat. Memang betul-betul tidak ada masa.

“Ini je?” tanya kakaknya yang tiba-tiba muncul dibelakang.

Lengkap berpakaian seragam berwarna merah membara dan tudung yang bersinaran magenta. Memang sekali pandang, sudah boleh tahu yang dia merupakan pelajar Institusi Akademik dan Islamik Swasta Perempuan, atau akronimnya IAISP.

“Kakak tak pernah pandai bersyukur ke?”

“Haghfe?” tanya kakaknya yang sedang mengunyah roti bakar dalam mulutnya.

“Takde apa-apa, lupakan jelah,” balas adiknya. Hilang semangatnya untuk menegeur apabila melihat sikap kakaknya.

Sehabisnya makan sarapan, kakaknya terus bersedia untuk keluar.

“Ingat ya, mentang-mentang cuti, jangan asyik main komputer…”


“Kak.”

“…jangan asyik tengok tv…”

“Kak.”

“…jangan asyik tidur…”

“Kak, kalau kakak meleter lagi, makin lewat lah kak sampai sekolah.”

Kakaknya melihat jam tangannya. “Aaaaaaah, dah pukul 11 dah!” Dia terus berlari ke pintu.

Azzam mengeluh, sedikit kecewa dengan perangai kakaknya. Dia pun mengambil bekas pinggan yang kakanya tinggalkan atas meja dan membawanya ke singki.

Sedang dia sibuk membasuh pinggan, dia terdengar jeritan kakaknya, “Aaaaaaaah, siapa yang basahkan lantai ni! Habis kena tukar stokin!”

*****

Sudah pukul 11.30 tapi seorang pelajar IAISP baru tiba di sekolah.

Dia bergerak dengan perlahan. Gerbang utara, gerbang timur dan gerbang barat IAISP dikawal oleh pengawas. Hanya gerbang selatan yang dikhususkan untuk pengurusan sekolah bebas dari kawalan pengawas.

“Baik.”

Dia terus menuju ke gerbang selatan. Disana, dia boleh lihat kereta-kereta para guru. Bagus, fikirnya. Dia boleh masuk tanpa disedari.

Dia berlari antara satu kereta dan satu kereta yang lain.

Setiap kali dia berbuat demikian, dia memastikan tiada pengawas yang turun ke gerbang selatan.

Dia tengok sekeliling. Bangunan utama IAISP yang tinggi lagi besar sedang berdiri teguh dihadapan matanya. Sedikit lagi, dia boleh sampai tanpa dikesan. Sedikit lagi.

Cuma lebih kurang 10 meter sahaja lagi.

Dia mengambil nafas yang panjang.

Sebaik sahaja dia menghembuskannya, dia terus lari menuju gerbang selatan. Dia menaiki tangganya. Dia berlari sepanjang korridor yang panjang, belok ke kanan selepas perpustakaan, naik ke tingkat dua, menuju ke blok utama, naik tangga ke tingkat lima, belok kiri selepas makmal fizik…

“Sedikit sahaja lagi,” dia kata dalam hatinya, jantungnya sudah penat mengepam darah untuk membolehkan dia terus berlari tanpa henti menuju kelasnya. Berpeluh-peluh mukanya berlari. “Aaaaaaah, habis berpeluh muka, teruk betul!”

Barisan kelas berada dihadapannya.

Sedikit sahaja lagi. Sedikit sahaja lagi. Sedikit sahaja lagi. Akan tetapi…

“Satu minit sahaja,” bunyi suara seorang guru.

“Baik,” jawab seorang pelajar yang baru sahaja meminta izin gurunya untuk keluar kelas sebentar. Baru sahaja dia membuka pintu kelasnya, dia bertembung dengan seorang pelajar yang basah mukanya kerana peluh.

“Kamu ni...” katanya.

“Aaaaaaah, kenapa mesti bertembung dengan pengawas masa ni??!!!”

*****

“Kenapa?” katanya dalam hati, sambil berjalan bersama-sama seorang pengawas. “Cuma sedikit sahaja lagi dah sampai kelas, tapi boleh pulak bertembung dengan pengawas.”

Sekarang, destinasinya sudah berubah. Hasratnya untuk ke kelas, terus hancur apabila diarahkan untuk pergi ke bilik pengetua.

“Tsk,” dia membuat bunyi dengan lidahnya. “Menyampah betul disiplin kat sini. Bukannya buat bom atau meletupkan makmal sains, cuma lewat datang sekolah je.”

“Cakap lah apa sahaja, kamu tetap akan kena tindakan,” kata pengawas itu.

“Hmmmph, pengawas pun sama. Menyampah je tengok muka diorang ni,” katanya lagi.

Pintu besar pejabat pengetua sudah pun kelihatan.

“Baik pergi kelas, boleh sambung pembelajaran. Kalau lepak dekat bilik pengetua, lagi buang masa namanya.”

“Cakap lah apa sahaja, kamu tetap akan kena tindakan,” kata pengawas itu lagi.

“Ceh, macam recorder rosak je dia ni, asyik ulang-ulang percakapan yang sama.”

Setibanya mereka dihadapan bilik pengetua, si pengawas mengeluarkan kad pelajarnya dan menggeselkan kadnya pada skrin yang berada dihadapan bilik pengetua.

Mesin tersebut mengeluarkan bunyi. Si pengawas pun berkata pada skrin terebut, “Ada seorang pelajar lewat. Datang untuk dikenakan tindakan disiplin.”

“Masuk,” suara pengetua keluar dari mesin tersebut, dan pintu pun terbuka secara tiba-tiba.

Maka masuklah mereka berdua kedalam bilik yang besar itu. Lantai dibaluti karpet merah. Tingkap tinggi yang berada dibelakang Tuan Pengetua membenarkan cahaya matahari menusuk masuk untuk menerangkan bilik yang sedikit gelap itu. Rak buku yang tinggi lambai berada di kiri dan kanan bilik.

Di tengah-tengah bilik, berhadapan dengan meja pengetua, mereka boleh lihat seorang lelaki dewasa dan seorang remaja perempuan.

“Kamu masih tak faham ke?!” lelaki dewasa itu menjerit.

Dua orang pelajar yang baru masuk ke bilik pengetua terus memandang lelaki tersebut yang berwajah cina.

“Apa yang susah sangat hah?! Saya cuma mintak anak saudara saya Vivian ditempatkan disini buat sementara sahaja. Bila saya dah jumpa sekolah convent lain nanti, saya terus bawa dia keluar lah. Itu sahaja! Susah sangat ke hah?!”

“Tuan,” kata pengawas tadi kepada pengetua. “Ini dia pelajar yang lewat itu.”

“Sebentar ya,” kata Tuan Pengetua kepada lelaki kasar itu, dan terus menghala pandangannya kepada pelajar yang berada disebelah si pengawas.

“Baiklah, keluarkan kad pelajar kamu,” kata pengetua. Tanpa opsyen lain, dia pun memberikan kad pelajarnya kepadanya.

Pengetua membaca informasi yang ada pada permukaan hadapan kad tersebut.

“Nurul Ain bt. Azmi, kod pelajar MT/IH 2204-0032, major dalam Ilmu Matematik dan Ilmu Istinbat Hukum, kelas F31A.”

“Ya,” jawab Nurul.

“Oleh kerana kamu hadir lewat, maka saya perlu mengambil tindakan keatas kamu.”

“Tunggu dulu,” kata lelaki tadi. “Kalau ya, selesaikanlah masalah pihak kami dulu. Awak nak biarkan terus kami berdiri di sini? Saya perlu selesaikan masalah ini secepat mungkin.”

“Nanti dulu encik,” balas pengetua. “Kami belum bersedia untuk menerima pelajar baru buat masa ini. Lagipun saya perlu menyelesaikan masalah pelajar yang lewat ini lagi, jadi boleh tak encik…”

“Hoi, awak faham atau tidak masalah kami ini?! Semua sekolah convent dah penuh, saya cuma nak tempatkan dia di sini sementara sahaja! Sementara sahaja! Bila saya dapat mencari tempat untuk anak saudara saya nanti, awak nak halau dia keluar, halau lah! Tapi kalau ya pun, saya tak nak biarkan dia tanpa pendidikan sementara saya berusaha mencari tempat untuknya!”

“Baiklah, begini,” kata pengetua kepada lelaki tersebut, yang kian hilang sabar. “Biar saya selesaikan dua-dua masalah sekarang.”

“Encik, saya akan tempatkan anak saudara encik disini sementara encik mencari kekosongan di sekolah-sekolah convent yang lain. Bagi saudari Nurul Ain pula…”

Dia menoleh pandangannya kepada Nurul.

“Hukuman awak ialah…”

Suasana pejabat pengetua menjadi sunyi dan saspens.

“Awak dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan menguruskan segala hal-ehwal untuk Vivian Lee Wei dalam tempoh pembelajarannya di Institusi Akademik dan Islamik Swasta Perempuan.”

“Apa?!”

Nurul teriak, tidak percaya dengan nasib malangnya.

Gadis yang berwajah cina yang berdiri disisi bapa saudaranya selama ini, terus memandang wajah Nurul.

Nurul bertentang mata dengan Vivian.

“Saya kena menjaga seorang pelajar Kristian yang perlu menuntut di sekolah Islam?”

15 May 2009

Bicara Hati..Sempena Hari Guru 2009

Sebenarnya puisi ini pernah dikeluarkan dalam majalah INSPIRASI sek0lah(yg terbaru bila nk keluar?)
dan puisi ini telah didendangkan khas oleh seorang mur0bbi ketika hari guru khas buat anak-anak didik Hidayah

Bicara Hati :Ustazah Norhawanis Sami0n, 16 Mei 2001

Aku gurumu...
tidak mampu memintal awan
Untuk menjadikannya benang
Aku juga tidak mampu menggapai mentari
Untuk menyinari kegelapan sebuah kehidupan
Aku juga tidak berupaya
Untuk merentang permaidani harapan
Untuk kau lalu ke singgahsana kejayaan
Aku juga tidak mempunyai kudrat
Untuk menjadikan lautan ilmu...Sebagai penaku....
Kudratku anak-anak
Umpama manusia rasional
Berfikir dengan akal
Bertindak di dalam lingkungan hukum ketuhanan
Usaha dan doa sebagai jambatan
Ke penghujung ketentuan Qadha' dan Qadar

Gurumu tahu...
Anak-anak tidak gemarkan leteran
Anak-anak tidak gemarkan nasihat memanjang
Anak-anak tidak gemarkan disiplin yang mengekang
Anak-anak tidak gemarkan latihan yang membeban
Anak-anak tidak gemarkan peringatan berulang...

Namun perlu kau dengar anak-anakku...
Kerna leteran itu
Kerna nasihat yang memanjang itu
Kerna disiplin yang mengekang itu
Kerna latihan yang membeban itu

Kerna peringatan yang berulang itu
Telah membawa kaki guru ini
Menjejakkan kaki di Universiti Al-Bayt Jordan
Universiti Yarmuk
Universiti Muktah
Universiti Al-Azhar
Universiti Cardiff
Universiti New Castle
Universiti Manchester
Universiti Malaya
Universiti Kebangsaan
MalaysiaUniversiti Sains Malaysia
Universiti Teknologi Malaysia
Universiti Pertanian Malaysia
Universiti of Alabama
Universiti of California State
Universiti La-Trobe


Anak-anak Hidayah dikasihi...

Kutahu bicara gurumu
Tidak sehebat Abraham Lincoln membahaskan demokrasi
Tidak sehebat Hamka berpidato
tidak setangkas bicara Jose Rizal membebaskan abdi
Tidak setajam kata Sukarno membicara kemerdekaan
Tidak setegas Yusof al-Qardhawi menghujah fatwa
Tidak seteguh Saidina Abu Bakar selaku khalifah
Tidak seteguh janji Khadijah isteri Muhammad s.a.w.

Namun...Gurumu yakin
Bicara kamiLeteran kami
Teguran kamiPeringatan kami
Kasih Sayang kami
Pengorbanan kami
dan Segunung doa dari kami

Telah berjaya menggegar telinga yang biasa mendengar...
Telah mampu menggoncang jiwa-jiwa halus kian gersang...
Telah berjaya mengejutkan jiwa-jiwa lena yang mengkhayal...
Telah mampu membangkitkan jiwa-jiwa suci berjihad...
Bicaraku terhenti di sini...
Izinku memohon diri
Andai diizin kita ketemu lagi
Dengan rasa kasih abadi...
Pohon maaf yang tiada terperi...

Akhirnya...
Ketahuilah anak-anakku...
Kaulah anakku yang paling kukasihi...
Amin...
Related Posts with Thumbnails