Assalamualaikum,
Untuk Posting pertama ini, ana keluarkan kembali Nusyroh Qolbu edisi2 lama sebagai ulangan dan tatapan antum,Mengetuk Dasar Qolbu
Saakinah fi shomtihaa, abyanu mimman yanťuqu.
Wa in wanat waqfatuhaa : a’jalahal munťolaq
Tenang dalam diamnya, tetapi lebih jelas daripada orang yang berbicara.
Bila diamnya terlalu lama, tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak.
Itulah gambaran yang dikemukakan oleh seorang penyair Tunis, Ahmad Mokhtar al-Wazi, tentang jiwa yang bersih. Gambaran yang beliau kemukakan tentang jiwa yang beriman itu lebih jelas dari apa yang telah digambarkan oleh orang lain. Terdapat dua perkara penting yang disebutkan dalam syair tersebut. Pertama : ialah ciri-ciri orang beriman, iaitu selalu berfikir, pendiam, merenung dengan tenang, tidak banyak berbicara (sia-sia), menjauhi gurauan, akan tetapi diliputi oleh wibawa yang berpengaruh dan keindahan yang benar-benar menyentuh hati.
Perkara kedua ialah diam atau istirehat yang dimaksudkan bukan bererti malas, lalai dan santai. Tetapi hanya datang sebentar, kemudian hilang disebabkan dorongan yang kuat untuk beramal. Begitulah seharusnya jiwa seorang muslim, sentiasa serius dan tidak banyak ketawa dan bergurau. Tidak dinafikan bahawa perkara itu dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat, akan tetapi ia hanya pada waktu dan kondisi tertentu dan tidak berlebihan. Gurauan dan canda ini boleh diibaratkan seperti garam dalam masakan. Seandainya terlebih atau terkurang, rosaklah masakan tersebut.
Jika gurauan atau canda itu mampu mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ilallah) ia adalah baik tetapi apa yang membimbangkan ialah seandainya saat kita bergurau, hilang penumpuan kita dalam mengingati Allah, anasir-anasir syaitan akan menjadi dominan dalam diri kita kerana kita telah membuka salah satu pintu masuk syaitan ke dalam diri.
Ikhwah akhawat sekalian,
Selamilah ke dalam lautan hatimu walau sekeruh manapun kamu merasakannya, kerana di situ pasti kamu temui mutiara-mutiara fitrah. Kumpulkanlah ia dan jadikan ia perhiasan buat dirimu untuk dipakai ke mana sahaja kamu berada.
Allah telah menetapkan Islam sebagai agamamu dan setiap daripada kita juga telah berjanji saat lahir ke dunia ini dengan penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Kita juga telah berjanji lima kali sehari dengan penyaksian tersebut dalam solat yang kita tunaikan . Adakah kita mahu mengingkari janji yang telah kita kotakan. Ketahuilah bahawa antara ciri-ciri orang munafiq ialah tidak menepati janji.
Begitu indah sekiranya kita bersama-sama mengekspresikan sifat-sifat seorang muslim dan mengamalkan Islam dalam segenap aspek kehidupan.
“Seandainya kau mampu masuk ke dalam mimpiku,
nescaya engkau melihat keindahan terserlah..”
(Manusia Untuk Sebuah Cita)
Namun Begitu, ia mustahil untuk dilaksanakan kerana kamu tidak berusaha untuk memasukinya dengan segala kekuatan yang kamu punyai.
Sahabat-sahabat yang yakin bahawa dengan Islam sahaja, kejayaan dapat dicapai,
Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila kita hanya beranggapan bahawa Islam hanyalah ketika ceramah, solat, khutbah serta ibadah khusus yang lain. Adakah kita hendak tergolong dalam golongan mereka yang dikatakan dalam al-Quran mereka yang hanya mengambil sebahagian daripada al-Quran sementara sebahagian yang lain diingkari. Kita banyak berkata-kata tentang permasalahan umat dan kebangkitan Islam, namun tidak satu pun tindakan yang kita lakukan terhadapnya. Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata. Kita punya ramai pendakwah tetapi berapa ramai yang bertindak dengan apa yang didakwahnya.
Sedarlah bahwa umur kita sekarang menentukan apa yang akan kita peroleh pada masa akan dating. Hiasilah diri dengan akhlak-akhlak Islamiyah. Yakinlah bahawa protokol (tatatertib, tatasusila) dalam hidup kita sebenarnya merupakan adab-adab yang telah diajarkan oleh Rasulullah melalui sunnahnya.
Bicaralah dengan bicara seorang muslim kerana percakapan kita mampu menjadi indikator kejernihan hati. Sebuah bekas itu hanya akan menumpahkan apa yang telah dimasukkan ke dalamnya. Mustahil bekas tersebut menumpahkan apa yang tidak dimasukkan ke dalamnya. Begitulah hati kita. Seandainya bersih hati, apa yang akan diucapkan oleh kita tentu perkara yang baik dan seandainya kotor hati kita, perkataan kotorlah yang akan terkeluar daripada bibir.
Dengan perasaan cinta dan penuh hormat, saya mengajak kita semua tidak mengira pangkat, warna baju dan tali leher mengetuk pintu qolbu (hati). Biarlah tuan rumah yang menguasai diri, jangan biarkan tetamu hati yang menguasainya. Hatilah yang akan menentukan kedudukan kita disisiNya. Kitalah yang akan menjadi pilar kebangkitan umat. Kitalah rahsia kekuatan umat. Kitalah pimpinan masa depan. Marilah kita kembali kepada fitrah kita : ISLAM.
“Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang, pemuda merupakan pilar kebangkitan. Dalam setiap kebangkitan, pemuda merupakan rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panji-panjinya” (Hassan al-Banna)
Bacalah dengan hati, kerana dengan hatilah ia ditulis
Salam hormat dan cinta,
Qalam Qolbu
1 comments:
ana.x.prasan.ada.post.nih.dulu.
Post a Comment