06 July 2009

NURUL AIN Part 5 : Rakannya yang Tidak Kembali

Awan yang kian diwarnai dengan warna-warna gelap mula menitikan titisan hujan, mula-mula renyai, tapi makin lama makin lebat, turun dari langit yang tingginya tak terhingga. Jalan yang bertar itu berada dalam keadaan sunyi sepi. Tiada sesiapa kecuali seorang.
Dia berdiri, menghadapi barisan kedai-kedai setingkat diseberang jalan.
Dia mengambil langkah. Senyap sahaja bunyi tapak kakinya, ditenggelami bunyi kuat yang dihasilkan oleh titisan hujan yang menghentakkan fabrik nylon payungnya. Bila dia tiba di seberang, seorang pekedai yang berada dalam lingkungan umur 50 tahun menegurnya.
“Waktu siang pun jarang dapat pelanggan. Ini pula malam. Adik ni baru pindah ke?”
“Takda lah,” jawab Carol. Dia menutup payungnya kerana sudah berada dibawah bumbung kedai.
Petir tiba-tiba menyambar. Cahaya dari petir tadi terpancar, dan iras muka Carol yang berketurunan cina terus kelihatan.
“Kebetulan rasa haus, itu yang singgah sekejap kat sini.”
“Nak air apa?”
Carol melihat dibelakang pekedai tua itu. Tersusun segala jenis air tin, air mineral – rokok pun ada.
“Bagi saya air min– bukan, air yang kat hujung sana tu.”
Pekedai tersebut mengambil setin air berkarbonat dan meletakkan diatas kaunter pembayaran.
“Seringgit setengah sahaja dik.”
Carol merenung kearah air tin itu. Merenung sahaja untuk seketika.
“Adik nak tukar ke?”
“Air mineral sahajalah.”
“Mmm, tak cukup duit ke ni?” tanya pekedai itu sambil mengambil sebotol air mineral, sedikit tersengih.
“Takda lah. Cuma…”
Carol mengeluarkan duit dari koceknya.
“Air mineral lagi bagus dari air yang bergula – lagipun air berkarbonat biasanya mengandungi kandungan gula yang amat tinggi.”
Si pekedai tua hanya mendengar penerangan Carol tanpa bantahan. Carol memegang botol air mineral yang baru dikeluarkan oleh pekedai itu, masih sejuk lagi air botol itu. Bertambah sejuk tangannya menyentuh botol air itu.
“Kawan saya yang ajar ni sebenarnya.”
“Baguslah tu, adik ada kawan yang pintar.”
“Tapi…”
Carol memegang botol air mineralnya dengan erat, emosinya sedikit terganggu.
“Tapi dia sampai sekarang masih belum munculkan diri,” Carol meluahkan perasaannya dengan nada suara yang lebih tinggi dari tadi.
“Dah lebih seminggu sekolah bermula, tapi sampai sekarang saya masih tak nampak dia. Dia pula dah tukar nombor telefon. Alamat rumah pun saya tak tahu. Hati saya sampai sekarang masih tak tenteram. Mana dia? Kat mana dia sekarang?!”
Dia berhenti bersuara. Bunyi hujan yang kuat terus berbunyi, terus membuat bising diwaktu malam yang sunyi itu.
“Sabar dik. Mungkin dia dah pindah. Adik jangan lah risau. Eh, asyik panggil ‘adik’ je. Siapa nama?”
“Carol,” kata si perempuan yang sedang berdiri dihadapan pekedai tua itu.
“Sedap nama,” katanya, demi menenangkan hati remaja perempuan yang bernama Carol itu.
Carol hanya mampu senyum.
Kemudian dia berkata, “Nama kawan saya lagi sedap.”
“Siapa namanya?”
“Vivian.”
***
Bunyi petir dan guruh asyik berbunyi. Tidak ada henti.
Dua orang pelajar perempuan yang berada di dewan belajar itu sedikit pun tidak berasa terkejut dengan bunyi guruh yang kuat. Ada perkara lain yang menggangu hati mereka.
“Macam mana?” tanya Najwa kepada Nurul.
“Macam mana kalau kita pula yang didakwahnya? Macam mana kalau dia dah memahami dengan lebih mendalam tentang Islam? Waktu tu, semua hujah kita boleh dipatahnya. Waktu tu, dia lebih memahami agama kita dari kita sendiri. Waktu tu, kalau iman kita goyah…”
Nurul hanya mempu melihat tepat kearah mata Najwa yang sudah sedikit berair. Nurul faham – kalau dia – kalau Vivian mampu menggoyahkan iman mereka, sesuatu yang tidak diingini akan terjadi.
Murtad.
Nurul membuka mulut. “Jangan risau. Dia hanya seorang. Kat sini ada lebh kurang 2000 orang pelajar, ditambah pula dengan 500 orang guru. Tak mungkin seorang budak Kristian boleh menumpaskan 2500 orang Islam.”
“Siapa kata tak mungkin? Cuba tengok kisah AsHabul Ukhdud. Semua rakyat terus masuk Islam dengan kecerdikkan seorang – hanya seorang – remaja Islam. Kalau keadaan ni diterbalikkan… tak mustahil iman 2500 orang Islam akan jatuh ditangan seorang remaja Kristian.”
“Kisah ghulam tu? Dia budak yang pintar.”
“Jadi Vivian tu bodoh ke?”
Nurul tak boleh menyangkal fakta itu. Vivian memang pintar – jauh lebih pintar dari apa yang disangkakan.
Nurul memegang tangan Najwa.
“Jangan risau. Ana rasa dia bukan jenis yang nak heret kita semua untuk memeluk agama Kristian. Dia cuma menumpang sahaja disini sementara bapa saudara dia mencari kekosongan di sekolah convent untuk menempatkan dia. Itu sahaja.”
“Jadi dalam tempoh masa tu, macam mana ana nak hidup dengan dia? Sama bilik pulak tu! Kalau ada apa-apa jadi…”
“Jangan risau. Percayalah, dia bukan jenis yang nak ajak orang lain keagamanya. Kalau asyik fikir yang bukan-bukan, nanti tak tenteram hidup nanti. Jadi, jangan risau.”
Tangannya memegang tangan rakannya yang sedikit menggigil itu dengan erat. Seboleh-bolehnya untuk menenangkan fikiran rakannya itu.
***
Dibawah payung, Nurul memandang kebelakang, melihat bangunan-bangunan IAISP yang besar dan tinggi, dikepung oleh awan-awan hujan yang gelap.
Sudah pukul 11, sudah tiba masa untuk dia balik. Nurul tidak ada kebenaran untuk tidur di asrama. Tak ingin dia ‘dihadiahkan’ dengan hukuman lain akibat masalah disiplin. Hukuman menjaga Vivian sudah cukup berat baginya. Dan sekarang rakannya sudah diheret bersama, malahan ditempatkan sebilik dengan Vivian.
Wajah Nurul sedikit bimbang.
Seorang sahaja. Hanya ada seorang pelajar Kristian dalam sekolah ini.
Hati Nurul masih mengharapkan Najwa dapat menenangkan dirinya. Dia mungkin sedang tidur sekarang – sebilik dengan Vivian. Entah samada Najwa dapat tidur dengan lena atau tidak.
Setelah beberapa seketika, Nurul kembali berjalan pulang kerumahnya.
Melintasi laluan yang biasa dilaluinya, hati nya tetap masih memikirkan perkara tadi. Dia asyik teringat kata-kata Najwa.
“Macam mana kalau dia dah memahami dengan lebih mendalam tentang Islam? Waktu tu, semua hujah kita boleh dipatahnya. Waktu tu, dia lebih memahami agama kita dari kita sendiri. Waktu tu, kalau iman kita goyah…”
Nurul tidak boleh mengatakan dengan pastinya yang imannya sudah cukup mantap.
Biasanya, dia tidak akan berfikir banyak kalau dia sudah mengantuk. Tapi entah mengapa, mindanya masih aktif memikirkan hal itu.
Melalui jalan yang biasa dilaluinya, kiri dan kanannya ada barisan kedai. Memang biasanya tempat ini sunyi. Biasanya tiada orang. Biasanya.
Nurul berjalan. Masih lagi memikirkan tentang Vivian.
Seorang lagi sedang berjalan ke arah yang bertentangan Nurul. Dia juga berpayung, berjalan di jalan yang biasanya tiada orang. Dia berjalan menghampiri Nurul.
Nurul tidak perasan. Dia juga tidak perasan.
Bahu mereka hampir bersentuhan. Amat dekat.
Dia berlalu begitu sahaja. Seketika sahaja.
Nurul tiba-tiba sedar, matanya terbuka luas.
“Siapa tadi?” hati Nurul tertanya-tanya. Dia pusing kebelakang. Tiada orang. “Tak mungkin tadi tu Vivian. Tak mungkin.”
Dia cuba menafikan.
“Tapi…”
Nurul lihat ke kanan, ke  kiri, di hadapan. Orang yang melalui bahu kirinya tadi sudah tiada dalam skop pandangannya.
“Orang tadi… orang tadi tu berpakaian seragam sebiji macam Vivian punya.”
***
“Mana pulak dia ni? Dah pukul 11.30 dah.”
Azmi masih lagi tidak boleh menguncikan pintu hadapan. Kakaknya masih belum balik lagi. Penat dia tunggu. Malahan sudah mengantuk.
Kuat keinginannya untuk kunci sahaja pintu itu.
“Siapa suruh balik lewat-lewat. Janji balik pukul 11.00 malam.”
Tapi belum sempat dia memasukkan kunci kedalam lubangnya, pintu depan tiba-tiba dibuka oleh seseorang.
“Hah, baru sekarang nak balik?!”
“Aaaaaah, lewat setengah jam sahaja.”
“Sebab perangai macam ni lah kakak asyik lewat ke sekolah tau tak?”
Nurul memberi pandangan mata yang tajam kearah adiknya.
“Adalah hal sikit.”
Nurul terus masuk kebiliknya lalu menutup pintu biliknya.
Azmi hanya mampu mengeluh dengan perangai kakaknya. “Pastu payung dibiarkan kat luar. Cantik punya perangai.”
Dibiliknya, Nurul terus terbaring diatas katilnya.
Gelap dan sunyi, hanya bunyi tangan jam didindingnya mengeluarkan bunyi setiap kali ia gerak sesaat.
Dibiliknya yang gelap dan sunyi itu, Nurul masih tidak tenteram. Matanya masih tidak lelap.
“Betul ke…”
Dia memandang kearah siling biliknya sambil bermonolog.
“Betul ke 2500 orang Islam boleh ditumpaskan oleh hanya seorang remaja Kristian?”
***
“Mana dia?”
Muka Vivian begitu jelas dalam pemikirannya. Seolah-olah baru semalam berpisah. Seolah-olah kehangatan tangannya masih boleh dirasa dengan tangannya sendiri.
“Carol?”
“Kenapa?” bisik hatinya. “Kenapa dia tak ada disini? Apa yang dah terjadi?” Kenapa?”
Matanya asyik memandang tempat duduk disebelahnya. Kosong. Tiada orang. Imaginasinya membayangkan Vivian berada ditempat sebelahnya, seperti biasa, rajin, bijak, dan tak pernah gagal menumpukan sepenuh perhatian dalam kelas. Imaginasi hanya sementara. Bayangan  Vivian hilang.
“Tunggu!” Carol menjerit tiba-tiba kepada bayangan Vivian yang tiba-tiba hilang tadi.
“Carol!”
Bunyi jeritan gurunya bergema dalam kelas itu.
“Jadi,” kata guru Carol yang berdiri dihadapannya. “Apa alasan kamu kali ni? Dah masuk kali ketiga saya tangkap kamu tak beri perhatian dalam kelas.”
“Maaf,” Carol bersuara lemah.
“Kenapa kamu asyik merenung telefon bimbit kamu ni?”
Carol diam. Di tangannya, telefon bimbitnya dipegang dengan erat. Nombor milik rakannya yang gagal dihubungi terpapar diatas skrin, tak kira berapa kali dia cuba, Carol tetap tidak dapat menghubunginya.
Semua rakan sekelasnya melihat perbualan satu hala antara Carol dan guru Matematiknya. Terus terganggu sesi pembelajaran.
“Saya tahu keluarga awak kaya dan banyak membantu menyelesaikan masalah kewangan sekolah ini. Tapi kamu tetap seorang pelajar, jadi berperangailah seperti seorang pelajar.”
Carol masih tidak menjawab.
“Kamu ni antara pelajar yang terhebat dalam sekolah ini. Boleh dikatakan pelajar paling pintar di sekolah ini. Itupun…”
Carol boleh agak apa yang bakal gurunya kata.
“Itupun sebab ‘dia’ sekarang tidak ada disini. Kalau ‘dia’ masih disini, kamu masih berada ditempat kedua.”
Carol tidak boleh membiarkan dirinya senyap. Carol terus bangun.
“Itulah sebabnya saya tak boleh fokus dalam kelas!”
Satu kelas terkejut.
“Saya tak kisah lah siapa berada ditempat pertama atau ditempat kedua! Sekarang ni saya dah kehilangan seseorang rakan yang amat penting dalam hidup saya. Satu-satunya rakan yang boleh saya luahkan segala masalah saya. Dan sekarang ni saya cuma nak…”
Carol hilang semangat untuk berdebat dengan gurunya. Kakinya dilenguhkan oleh perasaan peritnya. Tangannya mula mengusutkan rambutnya. Dia mula dibelenggu duri emosinya yang tidak stabil.
“Saya cuma nak Vivian balik.”
Halus suaranya. Bagai bisikan angin yang berlalu begitu sahaja.
Diatas papan putih, soalan matematik masih separuh terjawab. Dan sekarang, yang menjadi tumpuan kelas ialah seorang pelajar yang tidak boleh memberi perhatian dalam kelas kerana rakan karibnya sudah menghilangkan diri.
“Ikut saya ke pejabat.”
“Hah?”
Tangan Carol terhenti dari terus menjadikan rambutnya kusut-masai.
“Dengar kata saya. Ikut saya ke pejabat. Kamu akan dapat jawapannya di sana.”
“Jawapan?”
“Sebab kenapa Vivian tiada di sini sekarang.”
***
Sekali lagi Najwa menguap.
“Ni dah entah kali keberapa enti menguap. Kalau macam ni, susahlah nak fokus dalam kelas,” kata Nurul kepada Najwa sambil mereka berdua berjalan kearah dewan latihan untuk sesi aktiviti kelab.
“Apa boleh buat,” jawab Najwa yang baru Macam mana nak tidur lena dengan Vivian sebagai rakan sebilik.”
“Dia tak buat apa-apa kan?” tanya Nurul.
“Tak… rasanya lah.”
“Kalau dia buat apa-apa, bagi sahaja fakta kesilapan Bible.”
“Ana dah cakapa dulu kan. Itu bukan caranya.”
“Ingat apa yang tertulis dalam Genesis 1:31?”
“‘God saw all that he made, and it was very good’. Maknanya Tuhan telah melihat hasil ciptaannya dan semunya baik-baik belaka.”
“Dan apa pulak yang tertulis dalam Genesis 6:6?”
“‘The Lord was grieved that he had made man on earth, and his heart was filled with pain’. Maknanya Tuhan menyesal kerana mencipta manusia diatas muka bumi, dan hatiNya dipenuhi rasa perit.”
“Jadi?”
“Kedua-dua ayat ni kontra antara satu sama lain dalam verse yang sama.”
“Bukan verse. Verse tu ayat.”
Najwa memberi pandangan muka yang muram kepada Nurul.
“Tolonglah. Ingat tak apa yang jadi masa enti tembak Vivian dengan fakta-fakta macam ni? Nak ana ulang balik kesilapan enti tu? Lagi teruk keadaan ana nanti, dahlah dia tu rakan sebilik ana sekarang.”
“Cuma sebagai langkah hati-hati.”
“Hmm, yalah tu,” jawab Najwa dengan suara sinis.
Seorang pelajar berlari kearah Nurul.
“Kak Nurul, kak Nurul.”
“Hmm? Apa pulak kali ni?” tanya Nurul kepada pelajar tadi yang setahun lebih muda daripadanya.
“Bateri lithium cuma tinggal tiga kotak.”
“Alamak,” Nurul rungut, bahunya turun sedikit. “Kenapa tak cakap awal-awal?”
“Baru perasan.”
Habis pelajar tadi kena sinaran mata Nurul yang tajam. Bila dia geram, matanya memang jadi begini.
Najwa mencelah.
“Nurul, kalau macam ni susah lah nak dapat kerja nanti. Mesti pegawai syarikat tu terus reject enti bila tengok mata enti macam tu. Paling teruk dia jatuh pengsan kerana ketakutan.”
“Jadi?”
“Gunakan duit kelab,” kata pelajar tadi, lega kerana wajah Nurul sudah kembali normal. “Nah, ni yuran ahli untuk tempoh tiga bulan. Cukup rasanya.”
“Rasanya?!”
Mata Nurul kembali membara.
“Dah, cukup,” kata Najwa sambil mengheret Nurul dengan tangannya demi menyelamatkan pelajar yang tak bersalah tadi.
“Aduh,” keluh Najwa. “Mesti budak tadi rasa menyesal sebab mengundi enti jadi pengerusi Kelab Seni Pertahanan Pedang. Buat salah sikit je dah rasa seolah-olah dijatuhkan hukuman gantung.”
“Aaaaaaah, ana cuma nak bagi peringatan sahaja.”
“Hmm, yalah tu,” jawab Najwa dengan suara sinis.
Setelah jauh dari pelajar tadi, Najwa melepaskan tangan Nurul.
“Apa gunanya bateri lithium? Nak baiki lampu ke apa ni?”
“Nak diletakkan dalam shaft pedang tu.”
“Ha?”
“Bahagian pemegang pedang tu lah.”
“Ish, macam-macam jelah. Ni bukan nya perang masa depan. Tak pasal-pasal ada yang kena voltan tinggi nanti.”
“Ada lah hadnya. Inikan cuma aktiviti kelab.”
“Buat sahajalah macam kelab biasa. Aduhai, macam mana boleh tertukar topik pulak ni. Tadi tengah cakap pasal Vivian.”
“Dia tak sertai mana-mana kelab. Rasanya sekarang dia tengah jalan-jalan kat blok-blok IAISP.”
“Tak terbayang dia sertai kelab ni. Mesti sekolah lama dia takde kelab yang sebahaya ni.”
Nurul diam.
“Hah, kenapa tiba-tiba jadi senyap ni?”
Nurul memandang muka Najwa dengan muka dengan penuh persoalan.
“Dulu… dulu Vivian sekolah mana?”
***
“Dia… dia tak ada tempat di sini?”
Bagai ditimpa batu besar diatas kepala, Carol tidak dapat menerima hakikat yang dilemparkan kepadanya.
“Kalau kamu tak percaya,” kata pengetua sambil membetulkan kedudukan cermin matanya. “Kamu boleh semak senarai pelajar, semak tarikh pendaftaran mereka, sekali dengan tarikh kemasukkan pelajar.”
Pengetua berkata dengan suara dingin.
Bilik pengetua yang diwarnai warna kemerahan petang menambahkan lagi ketidaktenteraman dalam hati Carol.
“Semaklah semua fail-fail ini. Pasti kamu akan mendapati yang Vivian sudah terlepas peluangnya untuk ditempatkan di sekolah ini.”
Seolah-olah ingin mencabar muridnya sendiri, dia mempersilakan Carol untuk menyemak fail-fail yang tebal diatas mejanya.
Bara api dalam hati Carol mula menyala.
“Takkan sebab itu sahaja… sekolah ni terus tak bagi peluang kepadanya untuk bersekolah di sini?”
Carol menggenggam kedua-dua tanggannya yang bergetar kerana tidak tahan kemarahan. Tapi pengetua tidak peduli.
“Carol,” dia kata sambil mengemas kembali fail-fail pelajar.
“Kamu kena faham. Vivian terlepas peluangnya.”
“KAU YANG PATUT FAHAM!”
Jeritan Carol menggegar bilik pengetua. Air kopi dalam cawan pengetua bergelombang dengan dahsyatnya.
“Vivian tu pelajar paling pandai dalam sekolah ni! Tak pernah markah dia jatuh kurang dari 98 peratus! Kalau suruh dia ingat satu buku, suruhlah dia baca mana-mana mukasurat dan dia boleh sebut satu-persatu dengan tepat! Bukan tu saja, dia faham lebih dari tujuh bahasa! Dan sekarang kau kata yang kau tak terima pelajar yang macam ni?!”
Carol melepaskan segala-galanya.
Tapi si pengetua tidak sedikit pun mengundur diri. Kaku emosinya.
“Kalau bukan kerana keluarga kamu yang menberi sumbangan kewangan yang amat besar kepada sekolah ini,” kata pengetua dengan suaranya yang tetap dingin, “dah lama saya campak kamu keluar dari tingkap saya sekarang. Tolong jaga sikap kamu yang tak beradab ni. Kamu kena terima kebenaran yang pihak sekolah tidak boleh buat apa-apa untuk Vivian sekarang.”
Pengetua berhenti sementara untuk meminum kopinya. Kemudian dia bersambung.
“Walaupun keluarga kamu kaya, berkuasa, ramai peguam dan pengawal peribadi, saya perlu jelaskan yang semuanya dah terlambat untuk Vivian. Pendaftarannya yang sehari lewat dah menjejaskan statusnya sebagai seorang pelajar di sekolah ini.”
“Boleh tahan tahap kezaliman kau ni eh?! Vivian ialah antara produk yang paling baik yang pernah dihasilkan oleh sekolah ni, dan kamu tetap tak nak terima dia sebagai pelajar di sekolah ini?”
“Walaupun dia tu pandai, dia tetap seorang manusia. Dia tetap ada emosi. Itu mungkin sebab dia terlewat mendaftar. Dia tetap seorang manusia yang melakukan kesilapan, walaupun tahap I.Q.nya tinggi. Mungkin perkara ‘itu’ masih tak hilang dari memorinya.”
Kaki Carol secara spontan mengambil selangkah kebelakang. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh pengetua. Pengetua puas hati dengan reaksi Carol terhadap kata-katanya.
“Dengar cerita,” dia tersenyum, “dia sekarang berada di sekolah lain. Kalau kamu berhasrat untuk ‘selamatkan’ dia, kenalah kamu cari sekolah barunya.”
Mata Carol terbuka luas, tak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Se… sekolah baru?!”

2 comments:

zubayrafiq said...

Salam..Luqman, letak part 5 ni dalam label Nurul Ain ya...

Luqman ルクマン said...

baik bos... dah siap

(hik, ana baru blaja camne nk letak label... sbb selama ni xnah wat pun, huhu...)

Related Posts with Thumbnails