“Berapa semua ni?” tanya Najwa, termengah-mengah akibat berlari sambil membawa beban bungkusan kertas ditangannya.
“Sepuluh ringgit empat puluh,” jawab juruwang itu. “Kenapa ni adik? Macam kena kejar hantu je.”
“Eh, haha, tak ada apa-apa lah, jangan risau,” balas Najwa sambil mengelapkan peluh dimukanya.
Dia meletakkan duit kertas sepuluh ringgit dan empat puluh sen diatas kaunter. Sebaik sahaja berbuat itu, Najwa terus pecut keluar dari kedai buku itu.
“Adik, tak nak resit ke?”
Kata-kata juruwang tadi lansung tak masuk telinga Najwa. Kakinya bergerak lebih pantas dari biasa.
Sambil berlari, mindanya masih terbayangkan wajah pelajar yang baru dia temui tadi. Wajah yang penuh hasrat, penuh keinginan, penuh semangat untuk mendapatkan kembali seorang rakannya. Masalahnya hanya satu – rakan yang dicari pelajar itu sedang bersekolah di sekolahnya sekarang.
Kata-katanya masih bergema lagi dalam mindanya.
“Saya bersumpah akan cari dia, dan saya akan hancurkan sekolah yang sedang mengurungnya!”
Sebegitu sekali, begitu kuatnya perasaan rindunya kepada kawannya, begitu kuatnya hasrat dan keinginannya untuk mengubah keadaan, begitu teguhnya pendiriannya dalam mencapai matlamatnya, tak pernah dia jumpa seseorang yang sepertinya.
“…dan saya akan hancurkan sekolah yang sedang mengurungnya!”
Begitu sekali? Sampai sebegitu sekali?
“Nurul,” kata hati Najwa, hanya hatinya yang mampu bertutur dalam keadaan ini, dalam keadaan sedang berlari ini. “Mana perginya Nurul ni? Kat mana?”
Dia terus berlari, pecutan kakinya semakin laju.
“Mana dia ni?!”
Najwa terus berlari. Dia terdengar suara yang dia kenali.
“Boleh kamu jelaskan…”
Kedua-dua kaki Najwa terhenti. “Suara tu… suara Vivian!” Najwa pusing kepalanya kearah kanan. Jauh dihadapannya, dia dapat cam dua orang insan yang dia kenali.
“…mengapa perkara macam ni boleh terjadi? Bukan ke kamu sendiri ada kata tentang tiga belas aurat wanita tu?” kata seorang gadis yang Najwa cam sebagai Vivian.
“Itupun mereka,” bisik hatinya, separuh lega.
Nurul masih kaku tidak dapat menjawab soalan Vivian. Bila dia dengar sahaja bunyi tapak kaki Najwa, kekakuannya tiba-tiba hilang. Dia pandang kearah Najwa – agak kepucatan wajahnya. Vivian turut ikut aksi Nurul.
“Kenapa ni?” tanya Nurul. “Macam kena kejar hantu je.”
“Ayat yang sama lagi,” kata Najwa sambil menghembus nafas. Kedua-dua tangannya diletakkan diatas lututnya, memegang kakinya yang sudah kepenatan berlari. “Kalau orang yang penat berlari mesti ditafsirkan sebagai kena kejar hantu ke?”
“Habis tu… kalau tak kena kejar hantu… kena kejar orang? Takkan kena kejar juruwang gila kot?” Nurul gurau dengan sengaja, seboleh-bolehnya ingin melupakan soalan yang Vivian lontarkan kepadanya tadi.
“Korang berdua,” Najwa sambung ayatnya, “tak rasa kita patut balik sekarang ke?”
Wajah Vivian dan Nurul terukir tanda soal.
“Kenapa?” Vivian akhirnya berkata setelah lama mendiam.
“Sebab…”
Kata-kata Najwa terhenti. Dia mengangkatkan kepalanya, melihat wajah Vivian. “Sebab…”
Ayatnya sekali lagi tergantung.
“Nak beritahu dia ke? Rasanya tak patut. Tapi…” hati Najwa seolah-seolah mempunyai dua personaliti, bergaduh sesama sendiri.
Rupa paras budak perempuan yang dia temui tadi, berpakaian seragam sebiji seperti yang Vivian pakai, masih tidak pudar dari ingatan dia. Begitu tegas, begitu serious, begitu penuh dengan semangat untuk berjumpa kembali dengan kawan lamanya – begitu bersemangat sehinggakan ingin menghancurkan sekolah yang sedang “mengurungnya?”
Najwa menggeleng-gelengkan kepalanya bila ayat budak perempuan tadi bergema di telinganya. Dia cuba memaksakan dirinya untuk senyum.
“Ya lah, sebab penatlah. Kitorang ni walaupun perempuan, pun boleh rasa penat kalau dari pagi sampai petang dok shopping je kan?”
Alasan Najwa, walaupun alasan palsu, dapat meyakinkan Vivian dan Nurul. Lebih-lebih lagi Nurul yang tidak dapat menjawab soalan Vivian.
“Tapi,” Nurul tiba-tiba bersuara. Dia tarik keluar koceknya, ingin menandakan sesuatu.
“Aah,” Najwa terus faham apa yang dia nak sampaikan. Memang dia tahu perangai Nurul – kuat belanja. “Kalau macam tu, balik naik bas pun boleh.”
***
“Lepaskan boleh tak?!” jerit Carol sambil meronta-ronta. Bunyi tapak kakinya dan tapak kaki pengawal yang sedang membawanya itu bergema disetiap sudut koridor yang luas, lantainya berkilauan, kiri-kanan koridor penuh dengan gambar-gambar dan barangan antik yang jarang dijumpai.
Pengawalnya tiba-tiba lepaskan tangan. Carol hilang imbangan badannya. Dia terjatuh diatas lantai.
“Keh, macam ni kau layan aku?”
“….yang telah lupa diri. Ya. Sesuai sekali layanan tu.”
Suara garau seorang yang berumur kedengaran. Carol mendongak.
Berumur 40-an, berkerusi roda, sehelai rambut yang berwarna hitam pun langsung tidak kelihatan – Carol merenung kearah wajah bapanya, jelas sekali sedang marah.
“Seronok tak? Berjalan ke sini, ke sana, mengarah sini, mengarah sana – kau ni memang dah lupa ke kau ni siapa?!”
Suara bapanya begitu nyaring – sehinggakan pasu-pasu yang tersusun di kiri kanan koridor itu seolah-olah hampir retak dibuatnya.
Carol bangun perlahan-lahan, menahan kesakitan akibat terjatuh diatas lantai tadi sambil menepis habuk-habuk yang lekat pada bajunya. Dia cuba mengawal emosinya.
“Memang saya mungkin telah terlupa diri.” Carol berkata dengan penuh tenang.
Tiba-tiba suaranya menjadi semakin kuat. “Tapi tolonglah faham situasi sekarang ni.” Carol cuba menerangkan keadaan. “Seorang kawan saya, kawan rapat saya...”
“…telah hilang sejak awal tahun dan kini sedang dipaksa menuntut ilmu disebuah sekolah agama Islam. Dan kau pulak sedang dalam misi mustahak untuk menyelamatkan dia. Oh ya ke? Terharunya. Wuuuu. Boleh meleleh air mata,” bapanya melengkapkan ayat Carol dengan ayat sinis.
Carol terdiam mendengar kata-kata itu.
“Carol, kau tau tak apa itu had? Faham tak apa itu had? Apa itu limitasi? Apa yang patut dibuat dan apa yang tak patut dibuat? Tau tak yang kamu ni dah menjadi terlampau obses sangat dengan ‘misi suci’ kamu ni,” kata bapanya sambil menggerakkan jari telunjuk dan jari hantunya membuat tanda pembuka dan penutup kata dengan jarinya.
“Yang membuatkan kau tak tidur malam, tak fokus dalam kelas, menggila pasal seorang kawan yang kau baru kenal dua tiga tahun yang lepas…”
“Dah namanya kawan – KAWAN! – patut ke dibiarkan hilang begitu sahaja?” balas balik Carol. “Boleh ke dijamin dia akan bahagia? – berada didalam sekolah lain – sekolah agama pulak tu – berada dalam persekitaran asing. Sunyi. Keseorangan. Boleh jamin ke yang dia sedang bahagia sekarang ni? Boleh jamin ke?”
Perbalahan antara dia dengan bapanya seolah-olah tidak bernoktah. Pengawalnya tadi hanya berdiri kaku seperti patung – tidak melibatkan dalam pergaduhan mereka.
Bapanya diam sementara. Kemudian dia sambung berkata.
“Baiklah Carol. Jelaskan, apa faedah yang akan kamu dapat sekiranya kau dapat ‘selamatkan’ kawan kau ni.”
“F- Faedah?”
“Kalau takda faedah, takda maknalah apa yang kamu buat ni.”
Carol terkejut dengar kata-kata itu. “Faedah? Apa pulak kena-mengena dengan faedah?! Nak selamatkan kawan perlu ke faedah?!” Carol semakin bengis, tak sangka bapanya akan tanya soalan yang begitu tak masuk akal.
“Jadi…” sambung bapanya. “Kamu dah boleh secara rasminya berhenti main kejar-kejar yang tak berfaedah ni.” Dia berkata, terus menamatkan perbualan mereka. “Dah, pergi mandi. Kamu ada kelas piano sekejap lagi.”
Carol hanya mampu tergamam, hujahnya terus diputuskan dengan ayat yang tak bermakna lansung.
Dia genggam tangannya, marah.
Dengan perasaan geram, ditambah lagi perasaan malas untuk sambung bergaduh – dia terus pusing dan berjalan menuju biliknya.
Pengawalnya tadi dan bapanya hanya melihat Carol pergi kearah biliknya.
“Nak biarkan dia begitu sahaja ke?” tanya pengawalnya tadi.
Bapanya jawab dengan tenang. “Takpalah. Biarkan dia dulu. Kalau dia menjadi semakin susah untuk dikawal, suruh ‘dia’ uruskan Carol.”
“’Dia’? Yang baru masuk minggu lepas?” tanya pengawal tadi lagi.
***
Bas yang mereka bertiga naik bergegar. “Adui,” Nurul mengeluarkan suara yang rendah bila kakinya terkena bahagian belakang kerusi yang berada dihadapannya.
“Ni lah sebabnya ana tak suka naik bas awam – lambat pulak tu,” bisik Nurul agar dua orang rakannya yang lain tidak mendengarnya. Walaupun agak kurang senang, dia tetap tidak merungut dengan nada yang kuat – memang salah dia juga yang telah banyak berbelanja.
Nurul hanya menggunakan tapak tangan kirinya untuk menyokong dagunya sambil merenung jauh keluar tingkap bas. Disebelahya, Vivian senyap sahaja, tidak mengeluarkan sepatah kata pun.
Najwa pula duduk di kerusi dihadapan mereka berdua. Najwa juga senyap sahaja, tidak tahu apa yang patut dikatakan.
“Patut ke… nak beritahu Vivian tentang perempuan tadi? Mungkin dia cuma ingin berjumpa kembali dengan Vivian – itu sahaja kot. Dah dia tiba-tiba pindah sekolah kitorang, memanglah kawan-kawan dia yang lain tertanya-tanya ke mana hilangnya Vivian.”
Najwa menoleh kepalanya ke arah belakang, cuba melihat dua orang kawannya yang sedang duduk dibelakangnya. Nurul masih termenung keluar tingkap. Vivian kekal seperti batu – senyap sahaja.
Najwa kembali ke posisi asalnya.
“Huh…” dia mengeluh. “Memang tak boleh cakap lah.”
“Kenapa Najwa? Ada masalah ke? Mengeluh je enti dari tadi,” Nurul tiba-tiba bersuara dari belakang.
“Eeh?” terkejut Najwa. Dia sekali lagi pandang ke belakang. “Tak ada apa-apa lah,” dia cuba menafikan apa yang Nurul katakan tadi.
Bila Najwa habis berkata sahaja, situasi kembali senyap. Hanya bunyi bas bergerak sahaja kedengaran.
Nurul cuba menoleh kepalanya, melihat kearah Vivian yang sedang duduk disebelahnya. Dia dapat lihat Vivian sedang memehatikan seorang remaja perempuan, Melayu Islam, dengan kawannya, kedua-duanya free hair, sedang bergelak ketawa sesama mereka.
Nurul dapat tahu yang Vivian sedang tekun melihat mereka berdua.
Dia cuba bersuara.
“Umm, ingat tak soalan awak tadi?”
Vivian sedar yang Nurul sedang berkata dengan dia.
“Ya,” dia berkata. “Kenapa?”
“Kalau nak jawab soalan awab tadi…. saya rasa, mereka semua tahu apa yang patut dibuat dan apa yang tak patut dibuat. Cuma, ya lah, sebab keindahan dunia dan mengaburi mereka. Mereka masih mengejar dunia.”
“Mengejar dunia?” Vivian tanya lagi. “Jadi, maksud kamu ni, kalau yang betul-betul ikut peraturan agama ni, bukan jenis yang kejar dunia lah? Duduk terperap dalam masjid 24 jam, macam tu?”
Nurul dapat tahu Vivian masih kurang faham. Tapi bagaimana nak terangkan kepadanya? Nurul berfikir sebentar.
“Macam ni lah. Mmmm… tak tahu lah kalau ni analogi yang paling sesuai atau tidak tapi…”
Vivian tidak alihkan perhatiannya. Matanya memandang tepat kearah muka Nurul, membuatkannya rasa kurang yakin untuk menerangkan kepada Vivian.
“Kalau dalam perlawanan bola, mesti pemain akan kejar bola kan?”
“Haa?!” Najwa hampir menjerit dengan kuat. “Apa punya analogi tu?”
“Bayangkan je lah,” Nurul meneruskan, “yang, kalau katakan si pemain itu tadi begitu cintakan bola tu, dia akan kejar bola tu sampai dapat. Betul tak?”
Vivian dan Najwa masih tak dapat tangkap apa yang Nurul ingin sampaikan.
“Tapi kalau seseorang tu tak cinta dengan bola tu pun, dia tetap kena kejar bola, supaya boleh masukkannya ke dalam gol. Bandingkan kedua-dua pemain tadi. Seorang kejar bola untuk masukkannya kedalam gol. Seorang lagi kejar bola sebab cintakankan, untuk tangkap bola tu, bawa keluar dari stadium, bawa balik rumah, apa-apa sahajalah, sebab dah cintakan bola tu.”
Ekspresi wajah Najwa menunjukkan yang dia dapat tangkap apa yang Nurul sedang katakan.
“Dunia ni memang kita semua kena kejar, tapi sepatutnya kejar bukan sebab cinta dengan dunia dan keindahannya, tapi sebab kita ada matlamat, kita kejar dunia ni untuk menjadikannya bekalan. Bukannya kita semua diwajibkan duduk 24 jam dalam masjid, beribadah full-time.”
Nurul berhenti seketika. Dia sambung kembali. “Yang menjadi masalah dengan ramai orang sekarang ni, ialah mereka kejar dunia sebab cintakan dunia, leka dengan keindahan dan keseronokkan dunia. Tu yang, seperti yang awak persoalkan tadi, mengapa ramai orang perempuan Islam – terutamanya anak-anak remaja – tidak menjaga batasan aurat, seperti yang awak dah tahu, tentang 13 aurat wanita tu.”
Vivian masih merenung ke arah Nurul. Tiada perubahan pada ekspresi wajahnya.
“Mmmmmm,” Nurul garu kepala. “Susah jugak nak terangkan ni. Kena fikir analogi lain pulak.”
“Tak perlu lah.”
Vivian akhirnya buka mulut. “Boleh tangkap jugak lah, apa yang awak sampaikan tadi.”
Dia kembali melihat dua orang remaja perempuan tadi. “Awak nak katakan, yang mereka ni dah lalai dengan keseronokan dunia, kejar dunia sebab leka dengan keindahan-keindahan dunia… macam tu kan?”
“A… aah, lebih kurang macam tu lah,” balas Nurul. Lega sedikit, tidak perlulah dia nak kena fikir analogi lain yang lebih mudah difahamai.
Mata Vivian masih terpacak melihat orang-orang disekelilingnya. Nurul memerhatikan kelakuan Vivian. “Dia ni…” hatinya membisik. “Boleh tahan kuat jugak sikap ingin tahu dia ni. Mungkin… mungkin tu lah sebabnya dia banyak membaca, banyak bertanya.”
Najwa kembali duduk ditempatnya.
Wajah pelajar perempuan tadi terbayang dalam pemikirannya. “Budak perempuan tadi, kalau betul lah dia tu kawan Vivian, jadi….”
***
Nurul mengeluarkan kunci rumah dari koceknya. Penat, letih – sedikit lega, semuanya bercampur dalam otaknya. Najwa dan Vivian dah kembali ke bilik mereka – antara tiga orang hanya Nurul sahaja yang tidak menetap diasrama.
Dia membuka pintu rumahnya.
“Assalamualaikum,” dia memberi salam dan…
“Waalaimumussalam,” terus sahaja salamnya dijawab oleh adiknya. Azzam berdiri dihadapannya, seolah-olah menunggu kepulangan kakaknya. Dia menghalakan tangan kanannya kearah Nurul.
“Oh ya.”
Nurul mengeluarkan barang yang Azzam pesan dari begnya. “Nah.”
“Terima kasih. Kakak ni kadang-kadang boleh diharap juga ya,” gurau Azzam. “Aaaah, bersyukur jelah,” Nurul balas dengan lincah, malas nak layan gurauan adiknya.
Azzam melihat muka kakaknya. “Kenapa ni? Penat semacam muka.”
“Uh… adalah.” Nurul menjawab ala kadar sahaja. Bukan sahaja dia penat membeli-belah, malahan dia terpaksa jawab soalan cepumas dari Vivian pula tu – mana tidaknya kedua-dua minda dan jasmani Nurul menjadi penat.
“Kak,” Azzam tiba-tiba berkata.
“Ya?” Nurul tanya dengan suara yang rendah.
“Jaga diri baik-baik ya. Jangan terlibat dengan perkara yang bukan-bukan.”
Nurul hairan mendengar nasihat dari adiknya. “Apa pulak yang si Azzam ni makan sampai personaliti dia bertukar macam ni?” tanya hati Nurul. Dia hanya mengukir senyuman di atas mukanya. “Terima kasih ya.”
Dengan itu, Nurul terus masuk ke biliknya.
Azzam memerhatikan kakaknya.
“Tapi ada sekali tu sampai dia tanya kakak ana ‘ada tak pelajar Kristian yang pindah masuk sekolah ini?’”
Azzam masih tidak dapat lupakan kata-kata kawannya tadi.
“Jaga diri baik-baik ya kak,” sekali lagi Azzam berkata.